Wednesday, January 26, 2011

SUCIKAH AIR MUSTAKMAL DIGUNAKAN UNTUK BERWUDUK?


Sebagaimana yang lazimnya kita pelajari pada ustaz-ustaz atau buku-buku berkaitan Fardu ain, air mustakmal itu tidak boleh digunakan untuk bersuci. Sekiranya air mustakmal itu digunakan untuk berwuduk nescaya wuduk kita itu tidak sah. Wuduk yang tidak sah akan menjejaskan kualiti solat seseorang. Oleh itu, permasalahan air mustakmal harus kita perhatikan dengan serius kerana solat adalah perkara pokok di dalam islam.
Sabda Rasullullah s.a.w: “Pangkal semua urusan agama adalah islam, tingnya adalah solat dan puncak tertingginya adalah jihad.” Hadith riwayat al-Tirmizi dalam sunan tirmizi, kitab al-Iman.

APAKAH AIR MUSTAKMAL ITU?
Air mustakmal ialah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Menurut al-Fadhil Dato’ Haji Ismail Kamus:
“Air mustakmal ialah air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas kecil (berwuduk) atau besar (mandi wajib). Ini bermakna air yang telah digunakan untuk membasuh anggota wajib sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua kolah, ia dikira sebagai air mustakmal dan tidak sah digunakan untuk bersuci sama ada untuk berwuduk atau mandi wajib. Ia hanya boleh dibuat minum, makan atau membasuh benda-benda yang bukan najis. Begitu juga sekiranya air basuhan wajib tertitik ke dalam air yang tidak sampai dua kolah, ia dikira mustakmal.” Buku panduan fardu ain, karya al-ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.
Begitu juga definisi dalam Ensklopidi Hukum Islam buku Hafiz Firdaus Abdullah, Panduan Ibadah dalam Musafir Penerbangan.
Dalam kata lain sekiranya kita sedang berwuduk atau mandi lalu percikan air dari anggota badan kita termasuk ke dalam bekas air seperti kolah, baldi, tong dan bekas takungan air lain yang mana kandungan airnya kurang dari dua kolah, tidak sah digunakan untuk berwuduk. Persoalannya, benarkah dakwaan ini?

ADAKAH TUBUH SESEORANG MUKMIN ITU NAJIS?
Kebiasaannya yang menyebabkan air itu tidak suci dan tidak boleh berwuduk menggunakannya adalah disebabkan ia bercampur dengan unsur-unsur najis. Persoalannya, adakah tubuh seorang mukmin tubuh seorang mukmin itu dianggap sebagai najis sehingga percikan air dari anggota tubuhnya boleh menjejaskan kesucian sumber air wuduk? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita lihat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w telah bertembung dengannya di salah satu jalan di kota Madinah sedangkan waktu itu dia berada dalam keadaan junub. Lalu dia pun menyelinap pergi daripada Rasullullah kemudian terus mandi junub. Setelah itu, dia datang kembali. Nabi s.a.w telah bertanya: kemana engkau pergi wahai Abu Hurairah? Jawabnya: Aku berada dalam keadaan junub dan aku tidak suka mendampingimu ketika aku tidak berada dalam keadaan suci. Rasullullah s.a.w bersabda: Maha Suci ALLAH! Orang mukmin itu tidak najis.” Riwayat al-Bukhari dala sahih Bukhari.
Imam al-Bukhari r.h memasukkan hadis ini di dalam bab: peluh orang junub dan seorang muslim tidak najis. Jelas melalui hadis ini, ia membuktikan tubuh seorang mukmin itu bukanlah najis walaupun berada dalam keadaan berjunub. Oleh itu, tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa sekiranya terpercik air dari tubuh seorang mukmin yang tidak berjunub lalu jatuh ke dalam bekas air akan menghilangkan kesucian air itu. Jelas apabila barang suci bertemu barang yang suci ia tidak akan memberi apa-apa kesan. (Fiqh al-sunnah, sayyid sabiq).
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h:
“Ibn Hibban telah menyebut hal ini dalam satu bab khusus di dalam kitabnya sebagai bantahan terhadap orang berpendapat bahawa orang yang junub dan berniat mandi wajib, lalu air percikan mandi wajibnya itu jatuh ke dalam bekas maka airnya menjadi najis.” Kitab Fath al-Basri Syarh Sahih al-Bukhari, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.

NABI TIDAK MENGHARAMKAN PENGGUNAAN AIR MUSTAKMAL
Terdapat beberapa riwayat yang thadit daripada Rasullullah s.a.w bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.
Humran (hamba kepada Uthman bi Affan)r.a telah berkata:
“Sesungguhnya dia telah melihat Uthman bin Affan meminta sebekas air untuk berwuduk. Kemudian, beliau menuangkan air dari bekas itu ke tapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali... Kemudian dia (Uthman bin Affan) berkata: Aku melihat Rasullullah berwuduk seperti wudukku ini.” Riwayat al-Bukhari dalam sahih Bukhari, kitab al-Wuduk.
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Humran telah melihat sendiri bahawa Uthman bin Affan r.a telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bekas berisi air dan terus menggunakan air itu untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk, pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bekas itu kerana ia tidak sah digunakan untuk berwuduk. Kebenaran menggunakan air mustakmal untuk berwuduk atau mandi junub terbukti apabila Uthman r.a menegaskan bahawa ‘aku melihat Rasullullah s.a.w berwuduk seperti wuduk ku ini’.
Bukankah Rasullullah s.a.w juga menggunakan air mustakmal untuk berwuduk?
Imam al-Bukhari r.h meriwayatkan sebuah athar (perkataan sahabat) secara mu’allaq:
“Jarir bin Abdullah r.a memerintahkan keluarganya agar berwuduk menggunakan sisa air yang dipakainya untuk bersiwak (gosok gigi).” Sahih al-Bukhari, kitab wuduk.
Hadis yang diriwayatkan secara mu’allaq adalah hadis yang terputus dari awal sanadnya seorang perawi atau lebih. Melalui athar ini, Imam al-Bukhari r.h tidak menunjukkan sanad athar tersebut melainkan secara terus meriwayatkannya daripada Jarir bin Abdullah r.a. namun, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al’Asqalani r.h, sanad athar tersebut telah diriwayatkan juga oleh imam-imam hadis yang lain.
Riwayat dan silsilahnya (sanad athar) juga disebut oleh Ibn Abi Syaibah dan al-Daraqutni serta selain mereka daripada jalur sanad Qais bin Abu Hazim yang diambil daripada Jarir bin Abdullah. ‘Rujuk kitab Fath al-Bari, jilid.2.’
Mengikut amalan kebiasaan di Malaysia ternyata sisa air yang dipakai untuk mencelupkan kayu siwak (sugi) adalah termasuk dalam jenis air mustakmal yang tidak boleh lagi digunakan untuk berwuduk. Sedangkan, al-Hafiz Ibn Hajar r.h mendatangkan riwayat bahawa Jarir bin Abdullah telah membenamkan hujung kayu suginya ke dalam bekas air itu. Kesimpulannya, jelas sekali perbuatan Jarir bin Abdullah r.a yang merupakan seorang sahabat Nabi s.a.w telah menyelisihi amalan yang lazim diamalkan di Malaysia ini.
Abu Juhaifah r.a berkata: “Suatu hari, ketika waktu tengahari, Rasullullah s.a.w telah keluar lalu diberikan sebekas air untuk berwuduk. Setelah selesai, orang ramai menggunakan lebihan air wuduknya itu lalu berwuduk.” Hadis riwayat al-Bukhari.
Berkenaan hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar r.h berkata: “Di sini terdapat keterangan yang sangat jelas mengenai sucinya air mustakmal.” Kitab Fath al-Bari, Ibn Hajar al-‘Asqalani, jilid 2.
Apa yang dapat kita simpulkan dari riwayat-riwayat di atas ialah air mustakmal itu suci lagi menyucikan tanpa perlu diragui.
Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata: “Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa ada perbezaan walau sedikit. Hal itu disebabkan asalnya yang suci. Sedangkan tidak ditemui satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu.” Rujuk kitab Fiqh al-Sunnah, Karya Sayyid Sabiq, Jilid 1.

BENARKAH IMAM SYAFIE MENOLAK PENGGUNAAN AIR MUSTAKMAL UNTUK BERWUDUK
setelah merujuk kitab al-Umm karangan Imam Syafie r.h dalam bab: al-Thaharah(bersuci), jilid 1, halaman 32-44, ketika beliau membicarakan hukum penggunaan air yang kurang dari dua kolah, ternyata perbincangan beliau berkisar tentang apabila air yang kurang dari dua kolah tersebut bercampur dengan najis. Maka di dalam keadaan ini hukum air tersebut adalah tidak menyucikan dan tidak sah digunakan untuk berwuduk. Sedangkan bagi air yang umat Islam di Malaysia definasikan sebagai mustakmal maka beliau menganggap ia suci lagi menyucikan.
Seperti apa yang tertulis dalam kitab al-Umm, al-Rabi’ berkata: Peluh orang kristian, orang berjunub dan wanita yang sedang haid itu suci. Demikian juga peluh orang majusi dan peluh setiap binatang ternak itu suci. Air sisa minuman binatang ternak dan binatang buas seluruhnya itu suci kecuali anjing dan babi.
Al-Rabi’ berkata dan termasuk kata-kata Imam Syafie ialah: “Apabila seseorang melatakkan air, lalu dia mengerjakan perbuatan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu ke dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, pasti dia dapat berwuduk dengan air itu. Kerana terdapat pada sugi itu air liurnya. Sekiranya dia meludah, berkahak atau mengeluarkan air hingus ke dalam air, nescaya ia tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka ia tidak menajiskan air kecuali anjing dan babi.
Begitu juga kalau berpeluh, lalu peluhnya terjatuh ke dalam air, nescaya tidak menajiskan. Ini kerana, peluh manusia dan binatang ternak itu tidak najis. Sama sahaja dari mana tempat peluh itu keluar sama ada dari bawah bahu atau selainnya.” Kitab al-Umm, Imam Syafie r.h, jilid 1, ms 38.
Kesimpulannya, pandangan Imam Syafie r.h jelas selari dengan hadis-hadis yang thadit daripada Nabi s.a.w tentang keharusan menggunakan air mustakmal untuk berwuduk atau mandi junub. Tidak ada dalil sahih yang disepakati oleh ulama fikah atau hadis mengenai larangan menggunakan air mustakmal.
Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani al-Syafie, istilah itu tidak pernah wujud dalam syarak. Sedangkan, thabit perbuatan Nabi s.a.w menggunakan air yang kurang daripada dua kolah dan tidak dianggap air mustakmal yang tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas.

PENUTUP
Dengan penjelasan yang serba ringkas ini, diharap akan dapat menghilangkan segala keraguan tentang kesucian air mustakmal untuk digunakan ketika berwuduk. Oleh itu, air yang terdapat di dalam baldi, tong drum, kolah dan sebagainya yang biasa kita gunakan di rumah untuk menyimpan air adalah harus digunakan untuk berwuduk walaupun telah terpercik dengan air dari badan kita. Air di dalam bekas tersebut adalah sama hukumnya dengan air mutlak selagi tidak bercampur dengan najis atau berubah bau, warna dan rasanya.
Nasihat kepada ustaz-ustaz fardu ain agar mempermudah dan jangan menyusahkan umat Islam di Malaysia dengan hukum-hakam yang tidak ada sandarannya daripada Rasullullah s.a.w. Tidakkah Rasullullah s.a.w apabila di beri dua pilihan ternyata baginda s.a.w akan memilih pilihan yang lebih mudah untuk dilaksanakan umatnya asalkan pilihan tersebut tidak mendatangkan dosa? Apakah kita semua telah lupa dengan kata-kata Aisyah r.a: “Tidaklah Rasullullah s.a.w jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tdak mengandungi dosa.” Hadis al-Bukhari, kitab al-hudud.
Telah bertaburan dalam kitab-kitab fardu ain hukum-hakam yang memberatkan umat Islam Malaysia dan tidak bersandarkan kepada dalil-dalil yang sahih. Oleh itu, para ustaz harus berkerjasama untuk membersihkan kelas fardu ain mereka dari segala hukum-hakam yang sedemikian rupa. Sepatutnya, mereka menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai kayu pengukur sekiranya terjadi perselisihan pendapat antara cerdik pandai agama bukannya pasrah dan menegakkan kebatilan pendapat yang tidak disokong dengan hujah yang kukuh dan kuat.
(sumber: 25 Persoalan Semasa; huraian & penyelesaian. Mohd Yaakub Mohd Yunus)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.