Monday, December 27, 2010

Al-Baqarah 'jentik' Samuel


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAYA dilahirkan sebagai Samuel Taliwongso dalam sebuah keluarga Kristian yang sangat fanatik dari Desa Teling, Manado Indonesia. Bapa saya merupakan pengasas penubuhan Gereja Seven Day Advent di desa kami," kata Samuel yang menerima pendidikan awalnya di Advent Zending School iaitu sebuah sekolah mubaligh.

"Setiap hari semasa kecil itu, saya harus menghafal dan mengingat sepenuhnya sekurang-kurangnya lima fasal atau surah daripada Kitab Injil sebagaimana yang diarahkan oleh mendiang bapa," katanya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke MULO yang sama seperti SPM namun bermula dari saat itu juga menyaksikan Samuel terlibat dalam perjuangan bersama-sama rakyat Indonesia lain untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan Belanda.

"Bagi pemerintah Belanda kelompok-kelompok seperti kami dikenali sebagai The Hogder for Soekarno (Anjing-anjing Soekarno) dan dilabelkan sebagai pemberontak," katanya.

Akibatnya Samuel menjadi sasaran dan sering diburu oleh pihak penjajah yang menyebabkan anak muda ini terpaksa lari dan menyembunyikan diri dan sehinggalah pada tahun 1947, Samuel akhirnya berjaya sampai ke Belanda.

Di Belanda, Samuel berkerja di sebuah syarikat minyak kepunyaan Syarikat Hindia Belanda dan diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Bahagian Perkapalan.

Selain menjalankan tugas sebagai ketua jabatan, Samuel masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin gereja.

"Saya mengajarkan Kitab Injil kepada para jemaah gereja. Selain berusaha memurtadkan penganut Islam. Inilah kewajipan sebagai seorang pendeta atau pembaptis," katanya.

Perkara ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun, Samuel sudah mempunyai pengalaman membangunkan sebuah gereja dan membaptiskan beberapa orang gadis Islam yang berasal dari Gorontalo untuk dijodohkan dengan pemuda-pemuda Kristian

Pada tahun 1962 berlakulah satu peristiwa yang dikenali sebagai Dwikora@Trikora apabila penjajah Belanda menganggap seluruh penduduk Indonesia sebagai musuh.

"Saya termasuk salah seorang daripadanya. Lantas bagi mengelak daripada diberkas, saya terpaksa berkerja sebagai buruh binaan."

Apabila keadaan menjadi aman, beliau bersama-sama rakan yang senasib; Leo Tembeleng, Herard G. Nori dan W Oro, memberanikan diri menemui Gabenor Belanda pada masa itu, iaitu Gabenor Van Baal meminta kebenaran pulang ke Indonesia dengan jaminan keselamatan.

Van Baal setuju dengan syarat Samuel dan rakan-rakannya dikehendaki menaiki sebuah kapal laut yang menggunakan bendera negara Belanda. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju.

Akhirnya, mereka berjaya menumpang sebuah kapal yang mengibarkan bendera negara Panama untuk pulang ke Jakarta. Kapal tersebut adalah milik seorang ahli perniagaan berbangsa Tionghua dari Singapura.

Untuk tujuan keselamatan mereka dibekalkan dengan sepucuk surat jaminan keselamatan yang ditulis sendiri oleh Bahagian Sekretaris Urusan Irian Barat (SUIB) dan Samuel sendiri diberi kepercayaan untuk menjadi ketua rombongan itu.

Sehinggalah pada suatu malam, pelayaran mereka dilanda ribut kencang. Dalam keadaan yang sangat mencemaskan itu, ada seorang penumpang kapal yang beragama Islam yang dikenali sebagai Latoke berasal dari Makassar yang menimbulkan kehairanan kepada para penumpang lain. Apa tidaknya, dalam keadaan gawat itu, Latoke dilihat sedang mendirikan sembahyang.

Tambah menghairankan, seusai solat, Latoke seperti tidak menghiraukan kapal yang boleh pecah dan tenggelam bila-bila masa. Malah dengan tenang beliau mengambil sebuah buku (al-Quran), terus membacanya dengan begitu khusyuk.

"Tentu sahaja saya berasa jengkel melihatkan Latoke itu walaupun kami benar-benar hairan bagaimana Muslim ini tidak muntah, tidak mabuk laut, malah begitu stabil tidak seperti kami yang lain," katanya.

Keesokan harinya, ribut kembali membadai, kali ini lebih dahsyat. Dalam keadaan kapal yang teroleng-oleng dipukul ombak dan hujan ribut petir yang sangat ganas, Samuel akhirnya berjaya menghampiri Latoke untuk mengetahui buku apa yang dipegang erat Latoke.

Barulah Samuel menyedari 'buku' tersebut adalah sebuah kitab suci yang sangat hampir kepada umat Islam, iaitu terjemahan al-Quran karangan Muhammad Yunus terbitan Toko Buku Gunung Agung, JI Kwitang, Jakarta.

"Secara curi-curi saya pun terus menyelak kitab tersebut kebetulan pada lembaran yang ditanda oleh Latoke. Iaitu surah al-Baqarah ayat 136," kata Samuel. Samuel sangat terkejut apabila membaca tafsiran ayat tersebut!

"Sungguh saya terkejut kerana barulah saya tahu ternyata umat Islam itu tidak sahaja percaya kepada Muhammad (Nabi) sahaja. Sebelum ini saya menyangka orang Islam tidak percaya adanya Tuhan (Allah) dengan mempercayai Muhammad semata-mata, tidak percaya kepada Nabi Isa, Nabi Daud dan lain-lain Nabi yang turut dipercayai oleh kalangan yang bukan Islam, Kristian," kata Samuel.

Seketika itu juga badai mula kembali hilang, laut kembali tenang namun meninggalkan Samuel yang merenung lautan lepas dan mahu mencari jawapan apabila ayat itu benar-benar membuatkan beliau dihujani pelbagai persoalan mengenai agama, mana satukah yang benar?

AKHIRNYA pelayaran Samuel selamat tiba ke destinasi yang dituju, iaitu Tanjung Priok, Jakarta.

"Seharusnya saya gembira kerana akhirnya selamat kembali ke tanah air yang tercinta tetapi menjadi begitu penasaran dengan apa yang saya baca daripada al-Quran itu.

"Ini menyebabkan hati saya membuak-buak ingin membaca lebih lanjut mengenai Islam dan saya yakin al-Quran pasti ada jawapannya."

Tetapi sebaik mendarat, Samuel terus dikawal ketat oleh dua polis pengawal atas perintah Konsulat Indonesia di Singapura kerana dia sangat dikehendaki oleh pemerintah Indonesia ketika itu.

"Dengan berhati-hati dan curi-curi bagi mengelakkan diri daripada ditahan semula saya terus mencari Toko Buku Gunung Agung di Jalan Kwitang untuk membeli al-Quran terjemahan seperti yang dimiliki oleh Latoke.

"Saya meminta supaya kitab itu dibungkus rapi supaya tidak koyak atau terkena hujan, pada hal yang sebenarnya bagi mengelak daripada diketahui orang. Apatah lagi ramai mengetahui yang saya sebenarnya seorang paderi Kristian."

Samuel kemudiannya dibenarkan untuk kembali semula ke kampung halamannya di Menado. Namun tidak lama kemudian beliau dipanggil oleh Angkatan Tentera Darat Indonesia untuk membantu misi pendaratan di Irian Barat, sekali gus memerlukannya melaporkan diri di Jakarta.

"Dalam perjalanan dari Menado ke Jakarta inilah saya mengambil peluang dan kesempatan untuk membuka dan membaca kitab Terjemahan al-Quran itu.

"Saya membaca dan terus membaca yang menyebabkan saya menemui pelbagai kebenaran mengenai Islam. Saya mulai tahu dan faham bahawa ajaran agama asal saya salah semuanya," kata Samuel yang akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah.

Semenjak itu, dia terus mengkaji mengenai Islam dari pelbagai sudut dan sumber terutama al-Quran dan hadis. Apa yang lebih penting, dia kembali kepada tugas asal saya, suma kali ini bergelar daie.

"Saya lakukan ini kerana ingin mengembalikan mereka yang dahulunya pernah menjadi mangsa seruan ajaran agama lama saya sehingga menyebabkan mereka murtad dari sebuah ajaran yang sangat benar," katanya.

Namun yang lebih mencabar lagi apabila tindakan Samuel yang kini lebih dikenali sebagai Sulaiman Taliwongso telah menimbulkan kemarahan di kalangan teman-teman paderinya dahulu.

"Hampir setiap malam, rumahnya tidak putus-putus dikunjungi paderi untuk mengajak saya berdebat dengan harapan mengembalikan saya semula kepada Kristian.

"Alhamdulillah saya mampu menghadapi serangan-serangan hujah mereka malah turut menyebabkan ada di kalangan paderi itu sendiri akhirnya mengakui mengenai kebenaran Islam," katanya.

Namun satu hal yang menjadi keprihatinan Samuel, umat Islam saat ini ramai yang tidak tahu mengenai ajaran agama mereka sendiri, bahkan semakin jauh dan asing dalam agama sendiri.

"Umat Islam mulai berpecah-belah dan mencintai hanya kelompok mereka sendiri di samping ramai juga yang hanya Islam pada nama dan warisan sahaja!" katanya.

Barisan ayat terakhir Sulaiman ini wajar kita renungi kebenarannya kerana ternyata Samuel tidak berdusta malah benar belaka!

Friday, December 24, 2010

Adakah Menyentuh Perempuan Batal Wuduk?

Persoalan utama, mengapa terdapat perbezaan ketara dalam hukum bersentuhan kulit dengan wanita itu boleh membatalkan wuduk? Setengah mazhab Imam membatalkan, manakala yang lain pulan tidak membatalkan, sedangkan Islam itu pada asalnya berpunca dari satu sumber utama yakni al-Quran dan Sunnah Rasullullah S.A.W.

Umat Islam di Malaysia rata-rata berpendapat menyentuh wanita bukan muhrim itu membatalkan wuduk jika tidak berlapik dalam apa jua keadaan sama ada dengan syahwat mahupun tidak. Pendapa ini juga dipegang oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafie r.h. Beliau berkata;
"Apabila seorang lelaki menyentuh tangan isterinya atau bersentuhan sebahagian tubuhnya dengan sebahagian tubuh isterinya di mana tidak ada pembatas(lapik) antara dia dan isterinya, baik dengan nafsu berahi atau tidak, maka mereka berdua wajib memperbaharui berwuduk,". (Ringakasan kitab al-Umm, karya Imam al-Syafie, edisi terjemahan oleh Mohammad Yassir Abdul Muttolib, Pustaka Azzam, Jakarta (2005),Jil.1. ms.25)

Dalil yang digunakan oleh Imam Syafie r.h adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
"Wahai orang-orang beriman! janganlah kamu hampiri solat(mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan. dan janganlah pula(hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub(berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja sehingga kamu mandi junub. Dan jika kamu sakit, sedang dalam musafir, salah seorang diantara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air(untuk mandi dan berwuduk), kamu hendaklah bertayamum dengan tanah(debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." Surah an-Nisa':43.

Maksudnya:
"Wahai borang-orang yang beriman! Apabila kamu ingin mengerjakan solt(padahal kamu berhadas kecil), (berwuduklah) iaitu basuhlah mukamu dan kedua-dua delah kakimu termasuk buku lali. Jika kamu berjunub(berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit(tidak boleh kena air), dalam perjalanan, salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan sedang kamu tidak mendapati air(untuk berwuduk dan mandi), kamu hendaklah bertayamum dengan tanah(debu yang bersih), iaitu sapulah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu dengan tanah." Surah al-Maaidah:6

Bagi Imam Syafie r.h ayat "atau kamu menyentuh wanita" menjadi bukti bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk. Sebelum kita meneruskan perbincangan ini ada baiknya kita memahami bagaimanakah manhaj atau pegangan Imam Syafie yang juga digelar sebagai al-Nashir al-Sunnah(seorang pembela sunnah) dalam hal berkaitan ibadah.

Imam Syafie r.h berkata:
"Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasullullah S.A.W menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan menarik balik(pendapatku) dama ada katika aku masih hidup atau selepas kematianku." diriwayatkan Abu Nu'aim dalam kitab al-Hilya, al-Harawi, Ibn al-Qayyim dalam al-I'lam dan al-Fullani.

"Setiap hadis yang datang daripada Nabi S.A.W bererti itulah pendapatku sekalipun kamu semua belum pernah mendengarnya sendiri dariku." Hadis riwayat Ibn Hatim dalam Adab al-Syafie.

Masih banyak lagi kata-kata Imam Syafie r.h yang senada dengan apa yang ditegaskan mengenai perlunya kembali kepada hadis yang sahih walaupun menyanggahi pendapat mazhabnya sendiri.


Pengertian sebenar 'sentuh'
Hakikatnya, kalimah 'sentuh' yang terdapat pada kedua-dua ayat diatas bukan merujuk kapada persentuhan antara kulit tetapi ia sebenarnya merujuk kepada jimak(Persetubuhan). Terdapat beberapa ayat lain didalam al-Quran yang juga menggunakan istilah sentuh tetapi ia merujuk kepada perbuatan jimak.

Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya:
"Dan jika kamu ceraikan mereka sebelu kamu sentuh(jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya(tidak menuntut) atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya(memberi maskahwin itu sepenuhnya)." Surah al-Baqarah:237.

Maksudnya:
"Maryam bertanya(dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki padahal aku tidak pernah disentuh(dijimak) oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat." Surah Maryam:20.

Jelas kedua-dua kalimah sentuh dalam ayat diatas merujuk kepada jimak. Ibn Abbas r.a merupakan pakar tafsir dikalangan para sahabat juga menafsirkan persentuhan sebagai jimak pada kedua-dua ayat di dalam surah an-Nisa' dan al-Maaidah yang telah digunakan oleh Imam Syafie r.h sebagai dalil untuk menguatkan hujahnya.

Dr.Yusuf al-Qaradawi berkata:
"Makna menyentuh yang dijadikan dalil bahawa ia bermaksud hubungan badan (jimak) di dalamayat di atas(Surah an-Nisa' & al-Maaidah) adalah berdasarkan apa yang telah ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a." Fiqh al-Toharah, karya Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Syeikh Ibn al-'Uthaimin r.h telah menghuraikan secara jelas dan tepat mengenai ayat ke-6, surah al-Maaidah. Beliau telah membuktikan bahawa maksud firman ALLAH "kamu sentuh perempuan" itu bermaksud jimak. Beliau berkata: Ayat tersebut dimulakan dengan pembahagian taharah asli kepada dua, iaitu berwuduk untuk hadas kecil dan mandi wajib untuk hadas besar.

Firman ALLAH S.W.T: "Apabila kamu hendak mengerjakan solat(padahal kamu berhadas kecil), maka(berwuduklah) iaitu basuhlah mukamu dan kedua-dua belah tanganmu meliputi siku serta sapulah kepala-kepalamu dan basuhlah kedua-dua belah kakimu termasuk buku lali." Ayat ini jelas menetapkan tentang kewajipan berwuduk apabila berhadas kecil jika ingin solat.

Maksud firman ALLAH S.W.T: "Dan jika kamu berjunub(berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib." Ia menerangkan bahawa apabila kita berhadas besar diwajibkan mandi wajib.

Selanjutnya ayat tersebut menceritakan tentang taharah sebagai pengganti apabila tidak ada air yakni dengan bertayamum. Jika di awal ayat tersebut ALLAH telah membahagikan taharah asli bagi hadas besar dan hadas kecil, tentu sekali taharah pengganti yakni tayamum juga akan meliputi perbahasan untuk hadas besar dan hadas kecil agar ia sesuai dengan balaghah(sastera arab) al-Quran. Antara contoh-contoh yang ALLAH pamerkan untuk taharah pengganti ialah:

1. Jika kamu sakit (tidak boleh kena air).

2. Atau dalam perjalanan.

3. Atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air.

4. Atau kamu sentuh perempuan, SEDANG KAMU TIDAK MENDAPAT AIR(untuk berwuduk dan mandi).

Perkara (1)(, (2), dan (3) adalah berkaitan hadas kecil manakala perkara (4) sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melibatkan terjadinya hadas besar yakni berjimak. Oleh itu, Syeikh al-'Uthaimin r.h membuat kesimpulan:

Yang tepat bahawa ayat ini (Surah al-Maaidah:6) menunjukkan bahawa firman-NYA:"Atau kamu sentuh perempuan" maksudnya jika kamu menyetubuhi wanita supaya ayat ini meliputi dua sebab yang mengharuskan bersuci (toharah), iaitu hadas besar dan kecil. Hakikatnya, berwuduk meliputi empat anggota badan, manakala mandi (wajib) meliputi seluruh badan. Sedangkan taharah sebagai pengganti, iaitu tayamum meliputi dua anggota tubuh sahaja (muka dan tapak tangan) baik tayamum untuk hadas kecil mahupun besar. Rujuk Majmu' Fatawa Solusi Problemantika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin.


Petunjuk Daripada Sunnah Nabi S.A.W

Terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W yang menunjukkan sekadar bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ia tidak membatalkan wuduk.

Aisyah r.a berkata: "Aku tidur dihadapan Nabi S.A.W sedang kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila baginda hendak sujud, baginda akan menyentuh kakiku, lalu aku segera melipat kakiku." hadis al-Bukhari, sahih al-Bukhari.
Aisyah r.a berkata: "Pada suatu malam aku kehilangan Nabi S.A.W lalu aku mencarinya dengan tanganku(meraba-raba). Kemudian, tanganku mengenai telapak kaki baginda yang sedang tegak dalam keadaan sujud." Riwayat Muslim, sahih Muslim.
Aisyah r.a berkata: "Sesungguhnya Nabi S.A.W mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi mengerjakan solat tanpa berwuduk(memperbaharuinya)." Riwayat al-Tirmizi, sunan tirmizi, Ibn Majah, Sunan Ibn Majah.
Menurut Aisyah r.a, Rasullullah S.A.W telah menciumnya ketika baginda sedang berpuasa. Kemudian baginda bersabda: "Ciuman ini tidaklah merusakkan(membatalkan) wuduk dan tidak pula membatalkan puasa." Hadis Riwayat Ishak bin Rahawaih dinyatakan oleh Sayyid Sabiq dan al-Bazzar dengan sanad yang cukup baik.
Menurut hadis-hadis diatas, para ulama menguatkan hujah mereka bahawa menyentuh perempuan sama ada disertai dengan syahwat atau sebaliknya tidak membatalkan wuduk. Ini kerana, kebiasaan bercium disertai dengan syahwat. Sekiranya Rasullullah S.A.W ingin membezakan bahawa ciuman yang bersyahwat itu membatalkan wuduk sementara ciuman biasa tidak membatalkan wuduk pasti ada riwayat daripadanya yang menggambarkan perbezaan tersebut.
Menurut Syeikh Sa'id al-Qahtani: "Menyentuh perempuan berdasarkan pendapat yang kuat tidak membatalkan wuduk, sama ada disertai syahwat mahupun tidak selagi air mani atau mazi tidak terkeluar kerana Nabi S.A.W pernah suatu ketika mencium sebahagian isterinya lalu solat tanpa memperbaharui wuduknya." Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nadi S.A.W. Tuntutan bersuci lengkap.
Sungguhpun demikian, ada yang berpendapatbersentuhan kulit sesama muhrim sahaja yang tidak membatalkan wuduk, tetapi batal sekiranya bersentuhan dengan yang bukan muhrim. Pendapat ini adalah lemah sekali kerana dalam surah an-Nisa':43 dan Al-Maaidah:6 hanyalah menyatakan 'perempuan' sahaja bukan ibu, makcik, anak, sepupu, mertua, ipar, anak buah.
Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h di dalam Majmu' al-Fatawa, jilid 21:m/s 235-236: "Mengenai wajib berwuduk kerana menyentuh wanita tanpa syahwat, demikian adalah pendapat paling lemah. Pendapat ini tidak dinukil daripada salah seorang sahabat pun. Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda memerintahkan kaum muslimin agar berwuduk kerana disebabkan hal itu. Padahal ia adalah masalah yang sering berlaku malah kaum muslimin hampir tidak dapat menghindarkan diri darinya. Ini kerana lelaki selalu mengambil sesuatu dari isterinya dan mengambilnya dengan tangannya. perbuatan seperti ini juga terjadi pada kebanyakan manusia.
Oleh itu, andaikata wuduk wajib disebabkan kerana itu, pasti Rasullullah S.A.W memerintahkan sekali ataupun dua kali dan akan tersebar luas di tengah para sahabat. Andaikata Rasullullah melakukan itu maka pasti akan ada hadis yang ditulis mengenai hal ini walaupun hadis ahad. Tetapi, tidak ada satu hadis pun yang memerintahkan dalam masalah ini dari salah seorang kaum muslimin padahal ia sering terjadi. Oleh itu dapatlah kita fahami bahawa hal itu tidak wajib." Fiqh al-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m/s 239.
Sewajarnya isu ini dilihat dengan minda yang bersih dari sifat fanatik mazhab. Apatah lagi Imam Syafie r.h sendiri menganjurkan kita untuk lebih mengutamakan sunnah Nabi S.A.W berbanding pendapat beliau sendiri.
Juga jika dilihat secara teliti, hukum terbatalnya wuduk apabila bersentuhan antara lelaki dan wanita agak memberatkan serta menyukarkan umat islam terutamanya bagi pasangan suami isteri. Secara logiknvya, akal yang waras tidak dapat menerima pendapat Imam Syafie r.h kerana persentuhan antara suami isteri boleh membatalkan wuduk. Bagaimana mungkin mereka duduk sebumbung tetapi dihalangi dengan hukum persentuhan yang perlu dijaga.
Selain itu, kesukaran ini amat jelas lagi apabila terpaksa berasak-asak di dalam keadaan jumlah orang yang begitu ramai seperti ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Untuk meringankan kesukaran ini maka ada pihak yang mengambil pendirian bertaklid kepada Mazhab Imam Ahmad hanya ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Mereka sanggup mengeluarkan pendapat semata-mata taksub den mempertahankan mazhab yang dipegangi. Mengapa tidak kembali kepada Sunnah Nabi S.A.W yang sememangnya memudahkan umatnya.
Sabda Baginda S.A.W: "Sesungguhnya kamu semua diutus untuk memberi kemudahan dan tidak diutus untuk menyulitkan(umatku)." Riwayat al-Bukhari, Sahih Bukhari.
Baginda juga telah memerintahkan kita untuk mempermudahkan segala urusan sebagaimana sabdanya: "Permudahkanlah dan jangan kamu persulitkan." Riwayat al-Bukhari, Kitab al-'Ilm.
Semoga segala hukum hakam yang dipermudahkan oleh ALLAH kepada kita semua akan menjadi pilihan kerana mustahil apa yang datangnya daripada ALLAH dan Rasul-NYA serta menjadi amalan para sahabat mengandungi unsur-unsur dosa dan menyulitkan. Ssungguhnya ALLAH hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-NYA dan tidak mahu memberati kita semua.
Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya
"(dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menhendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendai kamu menanggung kesukaran." Surah al-Baqarah:185.

Wednesday, December 1, 2010

RENUNGAN


"Dan orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan menyenangi engkau, sehinggalah engkau mengikut agama mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah itu ialah sebenar-benar petunjuk. Demi, jika engkau mengikut kemahuan mereka, setelah engkau mendapat pengetahuan, tiada bagi engkau pelindung dan pelindung dari Allah." al-Baqarah:ayat 120

"Dunia dan akhirat. Mereka bertanya kepada engkau perihal anak-anak yatim. Katakanlah: berbuat baik untuk mereka lebih baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka itu saudaramu. Allah mengetahui orang yang berbuat kebaikan. Dan jika Allah menghendaki nescaya Dia boleh menyempitkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." al-Baqarah: ayat 220


"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu angkat orang-orang kafir menjadi wali, selain orang-orang mukmin. Adakah kamu menghendaki, mengadakan keterangan yang nyata atas kekafiranmu?" an-Nisaa':ayat 144

"Dan kami telah menurunkan kepadamu (ya Muhammad) dengan kebenaran yang membenarkan Kitab yang sebelumnya serta mengawasinya, sebab itu hukumlah antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah dan jangan kamu turuti hawa nafsu mereka, (yang berpaling) dari kebenaran yang telah datang kepadamu. Kami adakan bagi setiap umat di antara kamu satu syariat dan satu jalan. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia jadikan kamu satu umat yang satu, tetapi Dia hendak menguji tentang apa yang diberikanNya kepadamu, sebab itu, berlumba-lumbalah kamu (membuat) kebaikan."

"Dan kamu hukumlah antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah dan jangan kamu turuti hawa nafsu mereka dan berwaspadalah terhadap mereka, supaya mereka jangan menyesatkan kamu dari sebahagian yang diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling, ketahuilah bahawa Allah hanya menghendaki supaya mereka ditimpa seksa kerana sebahagian dosa mereka sendiri. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik."

"Adakah hukum jahiliah yang mereka tuntut? Dan siapakah yang lebih baik hukumnya dari Allah, bagi kaum yang yakin."

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengangkat Yahudi dan Nasrani menjadi wali. Sebahagian mereka menjadi wali bagi yang lain. Dan barang siapa yang mengangkat mereka antara kamu, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak menunjukkan kaum yang zalim."

"Kamu lihat orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit amat bersegera mengangkat mereka, lalu katanya: Kami takut jika kami ditimpa bahaya. Mudah-mudahan Allah mendatangkan kemenangan atau datang perintah dari sisi-Nya, lalu mereka menyesal atas apa yang mereka sembunyikan di dalam hatinya."

"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad diantara kamu dari agamanya, nanti Allah akan mendatangkan satu kaum, Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka berlemah lembut terhadap orang-orang beriman dan keras terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang di jalan Allah dan tidak takut cerca orang mencerca. Demikianlah kurnia Allah, diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui."

"Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, rasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat dan memberikan zakat, sedang mereka tunduk (kepada Allah)."

"Dan barangsiapa yang mengangkat Allah, rasulNya dan orang-orang beriman menjadi wali, maka sesungguhnya golongan Allah itulah orang-orang menang."

"Wahai orang-orang beriman, jangan kamu angkat menjadi walimu, orang-orang yang mengambil agamamu sebagai ejekan dan mainan, di antara orang-orang ahli kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir. Dan takutlah kepada Allah, jika kamu benar-benar oravng yang beriman."

"Dan apabila kamu menyeru mereka supaya bersolat, mereka mengambil solat itu sebagai ejekan dan mainan." al-Maaidah:ayat 48-58


"Dan jangan kamu cerca yang mereka sembah selain daripada Allah, nanti mereka mencerca Allah pula dengan aniaya tanpa ilmu pengetahuan. Demikian kami hiaskan bagi setiap umat amal perbuatannya, kemudian tempat kembali mereka kepada tuhan mereka, lalu Allah memberitakan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan." al-An'aam:ayat 108


"Amat jahat perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat kami dan orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri."

"Barangsiapa yang ditunjukkan Allah, nescaya dia mendapat petunjuk dan barangsiapa yang disesatkanNya, maka mereka orang-orang yang rugi."

"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan dia antara jin manusia, bagi mereka ada hati, tidak mengerti dengan hatinya, dan bagi mereka ada mata, tidak melihat dengan matanya dan bagi mereka ada telinga, tidak mendengar dengan telinganya. Mereka seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat. Merekalah orang-orang yang lalai." al-A'raaf:ayat 177-179




"Dan apabila dibacakan al-Quran, hendaklah kamu dengar dan diamlah, mudah-mudahan mendapat rahmat." al-Anfaal:ayat 204


"Mereka menjual ayat-ayat Allah dengan wang yang sedikit, lalu mereka menghalang jalan Allah. Sesungguhnya amat jahat apa yang mereka kerjakan."at-Taubah:ayat 9

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan saja, sedang Allah tidak mengetahui orang-orang yang berjuang di antara kamu dan tidak mengangkat selain dari Allah dan rasulNya serta orang-orang beriman menjadi penyimpan rahsia. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

"Tidak berhak orang-orang musyrik memakmurkan masjid Allah sedang mereka menjadi saksi di atas dirinya dengan kekafiran. Mereka itu hapuslah sekalian amalannya dan di dalam neraka mereka kekal selama-lamanya."

"Hanya yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari yang kemudian serta mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, sedang ia takut melainkan kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka itu termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk." at-Taubah:ayat 16-18