Tuesday, February 1, 2011

Taubat Kepada Allah SWT Perlu Disegerakan


Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri kenapa kita perlu bertaubat? Jika pernah, apa pula reaksinya?

Adakah kita berasakan perlu bertaubat sesekali atau melakukannya dengan lebih kerap?



Mungkin ada orang merasakannya tidak perlu. Sementara sebahagian lagi rasa ia amat perlu, malah jika boleh mahu melakukannya setiap masa.

Kepada yang rasa tidak perlu, mereka rasakan tidak ada apa kesalahan yang dilakukan, justeru untuk apa mereka bertaubat.

Bagi yang rasa amat perlu pula, mereka menyedari bahawa sebagai manusia biasa mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi melihat kesalahan kepada Allah Maha Pencipta.

Dalam hubungan sesama manusia, kalau kita melakukan kesalahan, maka cara terbaik untuk menyelesaikannya ialah dengan meminta maaf.

Apabila sudah melakukan begitu, perasaan kita akan menjadi aman dan lebih tenteram daripada kita mendiamkan diri tanpa meminta maaf.

Walaupun untuk meminta maaf itu terasa amat berat disebabkan malu, segan dan seumpamanya, namun apabila melakukannya ia ternyata lebih bermanfaat.

Fikiran menjadi aman dan jiwa menjadi tenteram.

Jika selama ini terasa ada yang tersangkut dan serba tidak kena tetapi dengan berterus terang meminta maaf, perasaan itu menjadi lapang dan lega. Itulah harga kemaafan sebenarnya.

Jika sesama manusia kita sanggup meminta maaf, hatta atas kesilapan yang kecil sekalipun, maka apa lagi soal kesalahan yang membabitkan diri terhadap Allah.

Sepatutnya kita akan lebih segera lagi meminta ampun, terutama apabila menyedari ada melakukan kesalahan.

Malah, sebenarnya kita sangat terdedah melakukan kesalahan terhadap Allah.

Cara meminta maaf kepada Allah tentunya tidak sama sebagaimana dilakukan sesama manusia.

Untuk mendapat kemaafan Allah, kita perlu memohon ampun dan bertaubat, bukan sekadar atas kesalahan yang sudah dilakukan malah berjanji tidak melakukannya lagi.

Soalnya, betulkah ada manusia tidak pernah melakukan kesilapan atau kesalahan yang boleh dianggap berdosa kepada Allah?

Cuma Rasulullah yang bersifat maksum terlepas daripada melakukan dosa. Itu pun setiap nabi dan rasul yang diutuskan Allah ke muka bumi ini sentiasa pula bertaubat dan memohon keampunan Allah.

Apa pun anggapan seseorang, sebenarnya manusia sangat terdedah kepada melakukan kesalahan atau berbuat dosa.

Ada ulama menyebut manusia ini, celik mata sahaja, sudah melakukan dosa.

Dosa mata dengan penglihatan, dosa telinga dengan pendengaran, dosa tangan dengan perbuatan, dosa kaki dengan langkah dan pergerakan, dosa hati dengan niat dan iktikad, dosa lidah dengan tutur kata, dosa hidung dengan deria baunya.

Bahkan setiap anggota manusia sangat terdedah kepada melakukan dosa, hatta terhadap dosa yang paling kecil sekalipun.

Ada orang menganggap melakukan dosa kecil itu sebagai tidak menjadi hal sangat. Ia dilihat seolah-olah tidak mencacatkan apa-apa.

Bagaimanapun orang yang menggunakan akal secara lebih wajar kerap memerhati dan menganggap dosa kecil yang dilakukannya adalah besar walaupun kecil pada pandangan manusia.

Kepada mereka, perkara yang sedemikian diibaratkan seperti debu berterbangan yang melekat pada kain jika dibiarkan tanpa dibersih, akan menjadi kotor juga.

Hati pula bagaikan kain yang belum dicelup sebarang warna tetapi apabila dicemari dengan dosa akan bertitik hitam atau menjadi cemar sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya iman itu mula muncul di hati bagaikan sinaran putih. Nifaq pula mula muncul di hati seperti titik-titik hitam lalu merebak sampai seluruh hati menjadi hitam."

Sebab itu orang yang menggunakan akal fikiran dengan sewajarnya tidak mahu mengisi waktunya dengan perbuatan yang sia-sia seperti mengumpat atau mencari kesalahan orang lain.

Mereka berzikir, membaca al-Quran dan melakukan segala perbuatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

Mereka juga takut seandainya mereka termasuk ke dalam golongan orang yang tidak bertaubat dan zalim.

Firman Allah bermaksud: "Siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu adalah orang yang aniaya." (Surah Al-Hujurat: ayat 11)

Orang yang sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada Allah, menunjukkan mereka sentiasa bersyukur terhadap Khalik yang mencipta mereka serta menganugerahkan nikmat yang tidak terhingga di dunia ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan taubat yang dikehendaki Islam hingga dilihat sebagai sesuatu yang sangat dituntut dalam agama untuk dilakukan?

Kata taubat berasal daripada perkataan Arab yang bererti kembali, seperti firman Allah yang bermaksud: "Kecuali orang yang bertaubat (kembali) dan beriman." (Surah Al-Furqan: ayat 70)

Dari segi tata bahasa, taubat bererti kembali kepada keadaan yang suci laksana bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya tanpa apa-apa dosa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang yang bertaubat itu kekasih Allah, orang yang bertaubat daripada dosa adalah seperti orang yang tiada mempunyai dosa." (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Ibnu Masud)

Taubat juga dapat diertikan sebagai kembali kepada ajaran Allah dengan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebahagian ulama mentakrifkan taubat sebagai kembali daripada jalan yang ditunjuki syaitan dan nafsu kepada jalan Allah.

Ibnu Abbas pula mentakrifkan taubat: "Menyesal dengan hati, beristighfar dengan lidah, meninggalkan perbuatan maksiat dengan anggota tubuh dan berazam dengan kukuh dalam hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi."

Pada segi hukum pula, ulama bersepakat menyatakan ia wajib kerana dosa dan perbuatan maksiat itu dapat membinasakan iman dan menjauhkan diri daripada Allah.

Nas yang menunjukkan bahawa hukum bertaubat itu wajib dan tidak boleh diambil ringan, boleh diperhatikan kepada maksud ayat al-Quran dan hadis berikut: Dalam al-Quran, Tuhan berfirman, bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai orang mukmin, supaya kamu berjaya." (Surah An-Nur: ayat 31)

Satu daripada hadis nabi menyebut dengan maksudnya: "Iringilah perbuatan jahat yang kamu kerjakan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya." (Hadis Riwayat Tarmizi dan Abu Dzar)

Lukman al-Hakim pernah berwasiat kepada anaknya dengan menyatakan: "Hai anakku, janganlah engkau tangguhkan bertaubat, sesungguhnya mati itu akan datang dengan tiba-tiba."

Imam al-Ghazali pula berkata: "Orang yang tidak segera bertaubat akan mendapat bahaya yang besar iaitu:

Bertindan kegelapan hati sehingga menjadi karat yang melekat dan akhirnya menutupi hati.
Jika dia didatangi sakit atau maut bererti dia datang menghadap Allah dengan hati yang tidak sejahtera."
Sesiapa yang sudah terlanjur melakukan maksiat wajib bertaubat. Kewajipan bertaubat adalah terus menerus pada bila-bila masa sahaja kerana manusia dalam kehidupannya sehari-hari mudah terdedah dengan perbuatan maksiat.

Adapun sebaik-baik taubat hendaklah dilakukan segera serta berulang-ulang secara berterusan.

Rasulullah tidak menyukai umatnya yang selalu menangguhkan taubat. Hal ini dapat diperhatikan daripada hadis baginda bermaksud: "Binasalah orang yang menyatakan esok saya akan bertaubat."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.