Friday, December 24, 2010

Adakah Menyentuh Perempuan Batal Wuduk?

Persoalan utama, mengapa terdapat perbezaan ketara dalam hukum bersentuhan kulit dengan wanita itu boleh membatalkan wuduk? Setengah mazhab Imam membatalkan, manakala yang lain pulan tidak membatalkan, sedangkan Islam itu pada asalnya berpunca dari satu sumber utama yakni al-Quran dan Sunnah Rasullullah S.A.W.

Umat Islam di Malaysia rata-rata berpendapat menyentuh wanita bukan muhrim itu membatalkan wuduk jika tidak berlapik dalam apa jua keadaan sama ada dengan syahwat mahupun tidak. Pendapa ini juga dipegang oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafie r.h. Beliau berkata;
"Apabila seorang lelaki menyentuh tangan isterinya atau bersentuhan sebahagian tubuhnya dengan sebahagian tubuh isterinya di mana tidak ada pembatas(lapik) antara dia dan isterinya, baik dengan nafsu berahi atau tidak, maka mereka berdua wajib memperbaharui berwuduk,". (Ringakasan kitab al-Umm, karya Imam al-Syafie, edisi terjemahan oleh Mohammad Yassir Abdul Muttolib, Pustaka Azzam, Jakarta (2005),Jil.1. ms.25)

Dalil yang digunakan oleh Imam Syafie r.h adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
"Wahai orang-orang beriman! janganlah kamu hampiri solat(mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan. dan janganlah pula(hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub(berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja sehingga kamu mandi junub. Dan jika kamu sakit, sedang dalam musafir, salah seorang diantara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air(untuk mandi dan berwuduk), kamu hendaklah bertayamum dengan tanah(debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." Surah an-Nisa':43.

Maksudnya:
"Wahai borang-orang yang beriman! Apabila kamu ingin mengerjakan solt(padahal kamu berhadas kecil), (berwuduklah) iaitu basuhlah mukamu dan kedua-dua delah kakimu termasuk buku lali. Jika kamu berjunub(berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit(tidak boleh kena air), dalam perjalanan, salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan sedang kamu tidak mendapati air(untuk berwuduk dan mandi), kamu hendaklah bertayamum dengan tanah(debu yang bersih), iaitu sapulah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu dengan tanah." Surah al-Maaidah:6

Bagi Imam Syafie r.h ayat "atau kamu menyentuh wanita" menjadi bukti bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk. Sebelum kita meneruskan perbincangan ini ada baiknya kita memahami bagaimanakah manhaj atau pegangan Imam Syafie yang juga digelar sebagai al-Nashir al-Sunnah(seorang pembela sunnah) dalam hal berkaitan ibadah.

Imam Syafie r.h berkata:
"Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasullullah S.A.W menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan menarik balik(pendapatku) dama ada katika aku masih hidup atau selepas kematianku." diriwayatkan Abu Nu'aim dalam kitab al-Hilya, al-Harawi, Ibn al-Qayyim dalam al-I'lam dan al-Fullani.

"Setiap hadis yang datang daripada Nabi S.A.W bererti itulah pendapatku sekalipun kamu semua belum pernah mendengarnya sendiri dariku." Hadis riwayat Ibn Hatim dalam Adab al-Syafie.

Masih banyak lagi kata-kata Imam Syafie r.h yang senada dengan apa yang ditegaskan mengenai perlunya kembali kepada hadis yang sahih walaupun menyanggahi pendapat mazhabnya sendiri.


Pengertian sebenar 'sentuh'
Hakikatnya, kalimah 'sentuh' yang terdapat pada kedua-dua ayat diatas bukan merujuk kapada persentuhan antara kulit tetapi ia sebenarnya merujuk kepada jimak(Persetubuhan). Terdapat beberapa ayat lain didalam al-Quran yang juga menggunakan istilah sentuh tetapi ia merujuk kepada perbuatan jimak.

Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya:
"Dan jika kamu ceraikan mereka sebelu kamu sentuh(jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya(tidak menuntut) atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya(memberi maskahwin itu sepenuhnya)." Surah al-Baqarah:237.

Maksudnya:
"Maryam bertanya(dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki padahal aku tidak pernah disentuh(dijimak) oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat." Surah Maryam:20.

Jelas kedua-dua kalimah sentuh dalam ayat diatas merujuk kepada jimak. Ibn Abbas r.a merupakan pakar tafsir dikalangan para sahabat juga menafsirkan persentuhan sebagai jimak pada kedua-dua ayat di dalam surah an-Nisa' dan al-Maaidah yang telah digunakan oleh Imam Syafie r.h sebagai dalil untuk menguatkan hujahnya.

Dr.Yusuf al-Qaradawi berkata:
"Makna menyentuh yang dijadikan dalil bahawa ia bermaksud hubungan badan (jimak) di dalamayat di atas(Surah an-Nisa' & al-Maaidah) adalah berdasarkan apa yang telah ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a." Fiqh al-Toharah, karya Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Syeikh Ibn al-'Uthaimin r.h telah menghuraikan secara jelas dan tepat mengenai ayat ke-6, surah al-Maaidah. Beliau telah membuktikan bahawa maksud firman ALLAH "kamu sentuh perempuan" itu bermaksud jimak. Beliau berkata: Ayat tersebut dimulakan dengan pembahagian taharah asli kepada dua, iaitu berwuduk untuk hadas kecil dan mandi wajib untuk hadas besar.

Firman ALLAH S.W.T: "Apabila kamu hendak mengerjakan solat(padahal kamu berhadas kecil), maka(berwuduklah) iaitu basuhlah mukamu dan kedua-dua belah tanganmu meliputi siku serta sapulah kepala-kepalamu dan basuhlah kedua-dua belah kakimu termasuk buku lali." Ayat ini jelas menetapkan tentang kewajipan berwuduk apabila berhadas kecil jika ingin solat.

Maksud firman ALLAH S.W.T: "Dan jika kamu berjunub(berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib." Ia menerangkan bahawa apabila kita berhadas besar diwajibkan mandi wajib.

Selanjutnya ayat tersebut menceritakan tentang taharah sebagai pengganti apabila tidak ada air yakni dengan bertayamum. Jika di awal ayat tersebut ALLAH telah membahagikan taharah asli bagi hadas besar dan hadas kecil, tentu sekali taharah pengganti yakni tayamum juga akan meliputi perbahasan untuk hadas besar dan hadas kecil agar ia sesuai dengan balaghah(sastera arab) al-Quran. Antara contoh-contoh yang ALLAH pamerkan untuk taharah pengganti ialah:

1. Jika kamu sakit (tidak boleh kena air).

2. Atau dalam perjalanan.

3. Atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air.

4. Atau kamu sentuh perempuan, SEDANG KAMU TIDAK MENDAPAT AIR(untuk berwuduk dan mandi).

Perkara (1)(, (2), dan (3) adalah berkaitan hadas kecil manakala perkara (4) sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melibatkan terjadinya hadas besar yakni berjimak. Oleh itu, Syeikh al-'Uthaimin r.h membuat kesimpulan:

Yang tepat bahawa ayat ini (Surah al-Maaidah:6) menunjukkan bahawa firman-NYA:"Atau kamu sentuh perempuan" maksudnya jika kamu menyetubuhi wanita supaya ayat ini meliputi dua sebab yang mengharuskan bersuci (toharah), iaitu hadas besar dan kecil. Hakikatnya, berwuduk meliputi empat anggota badan, manakala mandi (wajib) meliputi seluruh badan. Sedangkan taharah sebagai pengganti, iaitu tayamum meliputi dua anggota tubuh sahaja (muka dan tapak tangan) baik tayamum untuk hadas kecil mahupun besar. Rujuk Majmu' Fatawa Solusi Problemantika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin.


Petunjuk Daripada Sunnah Nabi S.A.W

Terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W yang menunjukkan sekadar bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ia tidak membatalkan wuduk.

Aisyah r.a berkata: "Aku tidur dihadapan Nabi S.A.W sedang kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila baginda hendak sujud, baginda akan menyentuh kakiku, lalu aku segera melipat kakiku." hadis al-Bukhari, sahih al-Bukhari.
Aisyah r.a berkata: "Pada suatu malam aku kehilangan Nabi S.A.W lalu aku mencarinya dengan tanganku(meraba-raba). Kemudian, tanganku mengenai telapak kaki baginda yang sedang tegak dalam keadaan sujud." Riwayat Muslim, sahih Muslim.
Aisyah r.a berkata: "Sesungguhnya Nabi S.A.W mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi mengerjakan solat tanpa berwuduk(memperbaharuinya)." Riwayat al-Tirmizi, sunan tirmizi, Ibn Majah, Sunan Ibn Majah.
Menurut Aisyah r.a, Rasullullah S.A.W telah menciumnya ketika baginda sedang berpuasa. Kemudian baginda bersabda: "Ciuman ini tidaklah merusakkan(membatalkan) wuduk dan tidak pula membatalkan puasa." Hadis Riwayat Ishak bin Rahawaih dinyatakan oleh Sayyid Sabiq dan al-Bazzar dengan sanad yang cukup baik.
Menurut hadis-hadis diatas, para ulama menguatkan hujah mereka bahawa menyentuh perempuan sama ada disertai dengan syahwat atau sebaliknya tidak membatalkan wuduk. Ini kerana, kebiasaan bercium disertai dengan syahwat. Sekiranya Rasullullah S.A.W ingin membezakan bahawa ciuman yang bersyahwat itu membatalkan wuduk sementara ciuman biasa tidak membatalkan wuduk pasti ada riwayat daripadanya yang menggambarkan perbezaan tersebut.
Menurut Syeikh Sa'id al-Qahtani: "Menyentuh perempuan berdasarkan pendapat yang kuat tidak membatalkan wuduk, sama ada disertai syahwat mahupun tidak selagi air mani atau mazi tidak terkeluar kerana Nabi S.A.W pernah suatu ketika mencium sebahagian isterinya lalu solat tanpa memperbaharui wuduknya." Sa'id bin 'Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nadi S.A.W. Tuntutan bersuci lengkap.
Sungguhpun demikian, ada yang berpendapatbersentuhan kulit sesama muhrim sahaja yang tidak membatalkan wuduk, tetapi batal sekiranya bersentuhan dengan yang bukan muhrim. Pendapat ini adalah lemah sekali kerana dalam surah an-Nisa':43 dan Al-Maaidah:6 hanyalah menyatakan 'perempuan' sahaja bukan ibu, makcik, anak, sepupu, mertua, ipar, anak buah.
Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h di dalam Majmu' al-Fatawa, jilid 21:m/s 235-236: "Mengenai wajib berwuduk kerana menyentuh wanita tanpa syahwat, demikian adalah pendapat paling lemah. Pendapat ini tidak dinukil daripada salah seorang sahabat pun. Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda memerintahkan kaum muslimin agar berwuduk kerana disebabkan hal itu. Padahal ia adalah masalah yang sering berlaku malah kaum muslimin hampir tidak dapat menghindarkan diri darinya. Ini kerana lelaki selalu mengambil sesuatu dari isterinya dan mengambilnya dengan tangannya. perbuatan seperti ini juga terjadi pada kebanyakan manusia.
Oleh itu, andaikata wuduk wajib disebabkan kerana itu, pasti Rasullullah S.A.W memerintahkan sekali ataupun dua kali dan akan tersebar luas di tengah para sahabat. Andaikata Rasullullah melakukan itu maka pasti akan ada hadis yang ditulis mengenai hal ini walaupun hadis ahad. Tetapi, tidak ada satu hadis pun yang memerintahkan dalam masalah ini dari salah seorang kaum muslimin padahal ia sering terjadi. Oleh itu dapatlah kita fahami bahawa hal itu tidak wajib." Fiqh al-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m/s 239.
Sewajarnya isu ini dilihat dengan minda yang bersih dari sifat fanatik mazhab. Apatah lagi Imam Syafie r.h sendiri menganjurkan kita untuk lebih mengutamakan sunnah Nabi S.A.W berbanding pendapat beliau sendiri.
Juga jika dilihat secara teliti, hukum terbatalnya wuduk apabila bersentuhan antara lelaki dan wanita agak memberatkan serta menyukarkan umat islam terutamanya bagi pasangan suami isteri. Secara logiknvya, akal yang waras tidak dapat menerima pendapat Imam Syafie r.h kerana persentuhan antara suami isteri boleh membatalkan wuduk. Bagaimana mungkin mereka duduk sebumbung tetapi dihalangi dengan hukum persentuhan yang perlu dijaga.
Selain itu, kesukaran ini amat jelas lagi apabila terpaksa berasak-asak di dalam keadaan jumlah orang yang begitu ramai seperti ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Untuk meringankan kesukaran ini maka ada pihak yang mengambil pendirian bertaklid kepada Mazhab Imam Ahmad hanya ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Mereka sanggup mengeluarkan pendapat semata-mata taksub den mempertahankan mazhab yang dipegangi. Mengapa tidak kembali kepada Sunnah Nabi S.A.W yang sememangnya memudahkan umatnya.
Sabda Baginda S.A.W: "Sesungguhnya kamu semua diutus untuk memberi kemudahan dan tidak diutus untuk menyulitkan(umatku)." Riwayat al-Bukhari, Sahih Bukhari.
Baginda juga telah memerintahkan kita untuk mempermudahkan segala urusan sebagaimana sabdanya: "Permudahkanlah dan jangan kamu persulitkan." Riwayat al-Bukhari, Kitab al-'Ilm.
Semoga segala hukum hakam yang dipermudahkan oleh ALLAH kepada kita semua akan menjadi pilihan kerana mustahil apa yang datangnya daripada ALLAH dan Rasul-NYA serta menjadi amalan para sahabat mengandungi unsur-unsur dosa dan menyulitkan. Ssungguhnya ALLAH hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-NYA dan tidak mahu memberati kita semua.
Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya
"(dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menhendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendai kamu menanggung kesukaran." Surah al-Baqarah:185.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.